Sunday 22 September 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Etika penulisan blog merupakan perkara yang perlu diberi perhatian untuk menulis blog dengan baik. Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 cara penulisan blog dengan baik. 

Cara yang pertama ialah penulis blog perlu membuat tajuk yang menarik perhatian pembaca. Tajuk yang kurang menarik akan membuatkan pembaca memilih blog lain yang tajuknya lebih menarik. Ramai penulis blog yang mungkin menghasilkan isi yang hampir sama atau isi yang lebih menarik dan pelik, tetapi tajuk blog yang bagus akan membawa pembaca membaca blog anda. Blog yang mempunyai penulisan yang  hampir sama biasanya mempunyai pengisian seperti resepi, tutorial dan jualan produk. Pembaca pula tidak akan membuka setiap blog untuk melihat yang mana satu yang bagus. Mereka akan memilih tajuk blog yang menarik hati mereka sahaja. 

Cara yang seterusnya ialah cerita yang menarik hati pembaca. Sekiranya tajuk membawa pembaca untuk membaca blog, cerita yang menarik hati pembaca dapat mengekalkan pembaca untuk membaca di dalam blog tersebut. Malah, sekiranya pembaca suka dengan cerita yang diberikan. Mereka mungkin akan mengunjungi blog tersebut setiap kali ada penulisan atau cerita yang baru. 

Seterusnya, memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkan blog lebih menarik. Gaya penceritaan yang bosan pasti membuatkan pembaca tidak mahu mengunjungi blog tersebut. Mungkin pembaca masih membaca blog tersebut untuk mendapatkan maklumat dan sebagainya, tetapi kehadiran blog lain yang mempunyai ayat-ayat jenaka pasti membuatkan pembaca memilih untuk membaca blog itu.

Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda merupakan salah satu etika penulisan blog yang baik. Hujah yang terbaik perlu diletakkan di dalam blog supaya isi atau maklumat yang diberikan lebih dipercayai. Tambahan lagi, hujah juga dapat meyakinkan pembaca bahawa isi atau maklumat blog itu betul. Hujah perlulah bersifat positif dan elakkan memberikan hujah negatif. 

Seterusnya, penulis perlu mengaitkan penulisannya dengan berita terkini.Sekiranya penulis gembar menceritakan hal-hal teknologi di dalam blognya, penulis perlu sentiasa kaitkan dengan berita tentang teknologi terkini. Hal ini kerana teknologi sentiasa berkembang dan terus berkembang. Mengaitkan penulisan blog dengan berita terkini juga membuatkan penulisan anda hebat, berkualiti dan dipercayai. Pembaca juga akan sentiasa mendapat input yang baru.

Penulis perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas untuk menghasilkan blog yang baik. Pembaca biasanya mahu mendapatkan informasi dengan cepat dan tidak gemar membaca ayat-ayat yang berbelit-belit. Selain itu, kesukaran untuk memahami ayat yang diberikan atau ayat yang terlampau panjang membuatkan pembaca beralih ke blog lain yang lebih ringkas dan mudah difahami.

Selain itu, blog anda perlulah dapat dibaca dan difahami. Hal ini berkait dengan poin di atas. Blog yang mudah dibaca dan difahami akan menyenangkan pembaca. Contohnya, sekiranya resepi memasak yang diberikan sukar difahami, kemungkinan besar pembaca akan menjadi geram dan hasil masakannya menjadi teruk kerana tidak memahami maksud yang disampaikan oleh penulis resepi itu. Oleh itu, penulis perlulah sentiasa memastikan hasil penulisannya dapat dibaca dan difahami.

Cara yang kelapan ialah dapat berkomunikasi dengan pembaca. Berkomunikasi dengan pembaca merupakan perkara penting dalam penghasilan blog. Berkomunikasi boleh terjadi dari pelbagai sudut iaitu berkomunikasi menggunakan alat perbualan di bahagian tepi blog. Alat perbualan itu boleh dimasukkan menggunakan cara-cara tertentu. Dari situ, penulis dalam berkomunikasi dengan pembaca. Selain itu, komunikasi boleh berlaku di ruangan komen. Sekirany pembaca puas hati atau ada pertanyaan, mereka boleh isi ruangan komen.

Penulis juga boleh memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan. Penulisan yang mempunyai moral dan nilai estetika dapat menyentuh hati pembaca dan hal ini dapat mendekatkan pembaca untuk terus membaca blog. Selain itu, memasukkan moral dan nilai estetika juga menjadikan penulisan lebih berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi. Hal ini berbeza dengan penulisan blog yang biasa dan nampak kosong.

Cara yang terakhir ialah penulis perlu berilmu untuk penulisan pendidikan. Penulis tidak patut menyalin info daripada blog lain tanpa mengetahui tentang ilmu tersebut. Penyampaian penulisan pendidikan yang tidak tepat hanya akan memberikan maklumat yang salah. Maklumat yang salah pula akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pembaca. Hal ini kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat untuk mempercayai kandungan blog tanpa usul periksa. Oleh itu, penulis juga perlu memastikan diri berilmu untuk penulisan pendidikan.

Sekian, terima kasih



No comments:

Post a Comment