Monday 30 September 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Hari ini menarik sedikit sebab jarang untuk saya bercerita tentang keluarga. Keluarga saya merupakan keluarga yang sederhana dan saya mempunyai empat orang adik beradik. Mak sudah pencen daripada guru KAFA dan sekarang tinggal ayah sahaja yang bekerja sebagai buruh kasar. Kami sekeluarga hidup sederhana dan bahagia. Ayah merupakan orang Selangor, manakala mak pula orang Johor. Dahulu, sebelum saya lahir lagi mereka tinggal di Muar, Johor iaitu di kampung nenek. kampung nenek saya pula sebenarnya sama seperti gambar yang kalau kanak-kanak lukis "Kampung Halaman Saya". Hehehe. Gunung dibelakang merupakan gunung Ledang, selepas itu di depan gunung tersebut merupakan sawah dan sawah itu merupakan mercu tanda di kampung tersebut. Halaman ruman nenek juga ada pokok kelapa dan pelbagai lagi pokok yang batangnya bersaiz besar.

Tidak lama kemudian, mak dan ayah pindah ke Selangor. Selepas itu, saya pun lahir ke dunia. Sayalah satu-satunya anak yang dilahirkan di Selangor dan jarak umur antara saya dan kakak adalah sepuluh tahun. Kakak yang sulong tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Ada yang kata kami mirip. Sebenarnya memang mirip pun hehehe. Abang pula tinggal di Banting, Selangor dan bekerja di Syarikat Bekalan Air Selangor. Kebelakangan ini ada kes air tercemar, hari-harilah dia berada di pejabat pada waktu malam. Seterusnya, kakak kedua pula tinggal di Tanjong Malim, Perak. Kerja di Jakel. Alhamdulillah, dapatlah membantu sedikit sebanyak mak dan ayah. Saya? masih lagi berada di dalam simulasi kehidupan iaitu alam universiti. Simulasi yang masih memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk belajar. Simulasi yang masih mempunyai 'MANNA' sekiranya diperlukan.

Hari raya merupakan hari yang paling saya nantikan kerana ketika itulah semunya berkumpul. Saya berharap keluarga kecil kami ini sentiasa bahagia, dilimpahi rezeki dan sihat sejahtera serta berada dalam lindungan-Nya.


BBM3410Satu2019: TIP BELAJAR DENGAN MUDAH


TIP BELAJAR DENGAN MUDAH

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini saya akan kongsikan tip belajar dengan mudah. Antara lima tip tersebut, hanya satu sahaja yang paling saya gemar iaitu teknik 30 Minit. Teknik ini merupakan teknik yang paling mudah untuk memahami sesuatu subjek. Minda juga tidak terbeban dengan input yang banyak dalam satu satu masa. Hanya tumpuan sebanyak 30 minit diperlukan, kemudian 30 minit untuk berehat. 30 minit masa berehat boleh digunakan untuk melihat movie, mendengar lagu, membasuh baju dan baca nota secara bersahaja. Insya Allah tip ini dapat memberikan manfaat kepada anda kerana tidak semua orang berjaya dengan menggunakan tip yang sama. 

Monday 23 September 2019

BBM3410Satu2019: Masih Di Sini


Pasti ramai yang mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Bagi saya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa membuat Kem Pemantapan Organisasi (KPO). Kem ini merupakan program pertama saya semasa menjadi Jawatankuasa Tertinggi Mahasiswa. Ketika inilah permulaan bagi 9 orang Jawatankuasa Tertinggi mengharungi liku-liku sebagai barisan tertinggi kolej. Saya dan rakan-rakan terpaksa balik ke Universiti Putra Malaysia lebih awal daripada orang lain untuk membuat persiapan kem dan orentasi pelajar baru pada waktu yang sama. AJK bagi kedua-dua program berbeza tetapi orang yang sama.

Paling tidak dapat dilupakan apabila kami terpaksa mengumpulkan duit untuk memasak sendiri makanan semasa persiapan. Setiap hari akan ada orang yang bertanggungjawab untuk memasak, membuat air, membeli barang dapur dan membersihkan pekakas. Secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara kami. Kami juga gigih menyiapkan agenda dan aktiviti untuk diberikan kepada anak-anak buah Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) yang baru serta menyiapkan persiapan untuk sambutan pelajar baru. Persiapan perlu dilakukan serentak kerana hari menyambut pelajar baru hanya selang sehari sahaja selepas kem tamat.

Hubungan kami teruji semasa kem berlangsung. Kepenatan dan kesilapan semasa menguruskan jadual rehat menyebabkan kami letih. Emosi juga terganggu dan mula antara kami yang terasa hati dengan antara satu sama lain. Alhamdulillah, semuanya kembali baik apabila Timbalan Presiden (Qiu Amira) membuat satu perjumpaan meja bulat. Perjumpaan itu meleraikan semua masalah kami dan dari situ kami faham bahawa semua masalah boleh dibincangkan bersama. Apa-apa sahaja masalah perlu diselesaikan dan tidak boleh memendam rasa. Perkara ini menjadi peraturan kami yang pertama.

Kemudian, kem berjalan dengan baik. Makanan yang disajikan cukup terbaik padan dengan hotelnya yang cantik. Apa yang kami paling suka adalah semasa minum teh. Teh dan kueh yang dihidangkan cukup lazat dan menyebabkan kami lebih bersemangar. Ukhwah antara MTM juga semakin meningkat.

Kem sudah tamat dan jawatan saya sebagai Timbalan Pengarah bertukar menjadi Bendahari Kehormat MTM semasa hari  sambutan pelajar baru. Disitulah secara rasminya bermula aktiviti MTM bagi sesi 18/19 di Kolej 15. Sekarang, Kolej 15 dikenali sebagai Kolej 12 dan MTM dikenali sebagai MPK iaitu Majlis Perwakilan Kolej.

Sekian, terima kasih.

Sunday 22 September 2019

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk

SINOPSIS CERITA SOSIAL 1: NENEK DAN DATUK

Cerita ini mengisahkan tentang Alim yang tidak sabar-sabar pulang ke kampungnya. Dia ingin bermain dengan ayam dan itik, tetapi ayam dan itik tiada. Rupa-rupanya, ayam dan itik di dalam reban yang baru. Kemudian, Alim masuk ke dalam rumah dan hairan kerana rumah tersebut tidak sama seperti dahulu. Nenek memujuk Alim dan menerangkan tentang semua perabot di dalam rumah itu. Ibu dan bapa serta nenek dan datuk pelik dengan kelakuan Alim. Walaupun begitu, keadaan tersebut telah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

(Rujukan: Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi. Terengganu: Penerbit UMT) 

JENIS-JENIS MULTIMEDIA 

Jenis-jenis multimedia yang boleh digunakan untuk penyebaran cerita ini boleh dilakukan melalui blog, Twitter, facebook, instagram dan Youtube.

Melalui blog, cerita ini boleh ditulis secara penuh atau pun sinopsis. Melalui blog juga, pengisian akan menjadi lebih jelas dan pembaca akan lebih mudah untuk memahaminya. 

Melalui twitter, penulis boleh membuat bebenang semasa menyebarkan cerita ini kerana twitter mempunyai had  perkataan.

Melalui Facebook, cerita ini boleh disebarkan melalui muat naik secara biasa atau diletakkan dalam Group atau Page. Pembaca juga boleh tekan butang "KONGSI" dan secara tidak langsung cerita tersebut akan tersebar.

Melalui Instagram, penulis boleh menarik pembaca dengan meletakkan gambar di dalam Instagram, kemudian barulah penulis boleh menulis tentang cerita ini. Tambahan lagi, penulis juga boleh letak di Stories Instagram. 

Melalui  Youtube, penulis boleh membuat video ringkas dan meletakkan gambar atau pun video.




BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Etika penulisan blog merupakan perkara yang perlu diberi perhatian untuk menulis blog dengan baik. Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 cara penulisan blog dengan baik. 

Cara yang pertama ialah penulis blog perlu membuat tajuk yang menarik perhatian pembaca. Tajuk yang kurang menarik akan membuatkan pembaca memilih blog lain yang tajuknya lebih menarik. Ramai penulis blog yang mungkin menghasilkan isi yang hampir sama atau isi yang lebih menarik dan pelik, tetapi tajuk blog yang bagus akan membawa pembaca membaca blog anda. Blog yang mempunyai penulisan yang  hampir sama biasanya mempunyai pengisian seperti resepi, tutorial dan jualan produk. Pembaca pula tidak akan membuka setiap blog untuk melihat yang mana satu yang bagus. Mereka akan memilih tajuk blog yang menarik hati mereka sahaja. 

Cara yang seterusnya ialah cerita yang menarik hati pembaca. Sekiranya tajuk membawa pembaca untuk membaca blog, cerita yang menarik hati pembaca dapat mengekalkan pembaca untuk membaca di dalam blog tersebut. Malah, sekiranya pembaca suka dengan cerita yang diberikan. Mereka mungkin akan mengunjungi blog tersebut setiap kali ada penulisan atau cerita yang baru. 

Seterusnya, memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkan blog lebih menarik. Gaya penceritaan yang bosan pasti membuatkan pembaca tidak mahu mengunjungi blog tersebut. Mungkin pembaca masih membaca blog tersebut untuk mendapatkan maklumat dan sebagainya, tetapi kehadiran blog lain yang mempunyai ayat-ayat jenaka pasti membuatkan pembaca memilih untuk membaca blog itu.

Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda merupakan salah satu etika penulisan blog yang baik. Hujah yang terbaik perlu diletakkan di dalam blog supaya isi atau maklumat yang diberikan lebih dipercayai. Tambahan lagi, hujah juga dapat meyakinkan pembaca bahawa isi atau maklumat blog itu betul. Hujah perlulah bersifat positif dan elakkan memberikan hujah negatif. 

Seterusnya, penulis perlu mengaitkan penulisannya dengan berita terkini.Sekiranya penulis gembar menceritakan hal-hal teknologi di dalam blognya, penulis perlu sentiasa kaitkan dengan berita tentang teknologi terkini. Hal ini kerana teknologi sentiasa berkembang dan terus berkembang. Mengaitkan penulisan blog dengan berita terkini juga membuatkan penulisan anda hebat, berkualiti dan dipercayai. Pembaca juga akan sentiasa mendapat input yang baru.

Penulis perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas untuk menghasilkan blog yang baik. Pembaca biasanya mahu mendapatkan informasi dengan cepat dan tidak gemar membaca ayat-ayat yang berbelit-belit. Selain itu, kesukaran untuk memahami ayat yang diberikan atau ayat yang terlampau panjang membuatkan pembaca beralih ke blog lain yang lebih ringkas dan mudah difahami.

Selain itu, blog anda perlulah dapat dibaca dan difahami. Hal ini berkait dengan poin di atas. Blog yang mudah dibaca dan difahami akan menyenangkan pembaca. Contohnya, sekiranya resepi memasak yang diberikan sukar difahami, kemungkinan besar pembaca akan menjadi geram dan hasil masakannya menjadi teruk kerana tidak memahami maksud yang disampaikan oleh penulis resepi itu. Oleh itu, penulis perlulah sentiasa memastikan hasil penulisannya dapat dibaca dan difahami.

Cara yang kelapan ialah dapat berkomunikasi dengan pembaca. Berkomunikasi dengan pembaca merupakan perkara penting dalam penghasilan blog. Berkomunikasi boleh terjadi dari pelbagai sudut iaitu berkomunikasi menggunakan alat perbualan di bahagian tepi blog. Alat perbualan itu boleh dimasukkan menggunakan cara-cara tertentu. Dari situ, penulis dalam berkomunikasi dengan pembaca. Selain itu, komunikasi boleh berlaku di ruangan komen. Sekirany pembaca puas hati atau ada pertanyaan, mereka boleh isi ruangan komen.

Penulis juga boleh memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan. Penulisan yang mempunyai moral dan nilai estetika dapat menyentuh hati pembaca dan hal ini dapat mendekatkan pembaca untuk terus membaca blog. Selain itu, memasukkan moral dan nilai estetika juga menjadikan penulisan lebih berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi. Hal ini berbeza dengan penulisan blog yang biasa dan nampak kosong.

Cara yang terakhir ialah penulis perlu berilmu untuk penulisan pendidikan. Penulis tidak patut menyalin info daripada blog lain tanpa mengetahui tentang ilmu tersebut. Penyampaian penulisan pendidikan yang tidak tepat hanya akan memberikan maklumat yang salah. Maklumat yang salah pula akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pembaca. Hal ini kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat untuk mempercayai kandungan blog tanpa usul periksa. Oleh itu, penulis juga perlu memastikan diri berilmu untuk penulisan pendidikan.

Sekian, terima kasih



Monday 16 September 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM

Lagu & Lirik: Profesor Dr. Normaliza Abd. Karim
Hak Cipta : Universiti Putra Malaysia

Saya Faham

Saya kata "Apa Khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk kita
Untuk mereka.


BBM3410Satu2019:DIRI

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Nama saya Nur Hakimah binti Saidi dan saya berumur 23 tahun. Nombor matrik saya 187629 dan saya merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia dan menetap di kolej 12, UPM. Kampung saya bernama Kampung Sri Tiram Jaya dan terletak di Tanjung Karang, Selangor. Saya merupakan anak keempat daripada empat orang adik beradik. Kesemua adik beradik saya sudah berkerja dan berumah tangga. 

Saya memulakan pengajian saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Tiram, kemudian menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya dari tahun 2009 hingga 2013. Selepas itu, saya mengambil Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun di Pekan Tanjong Karang dari tahun 2014 hingga tahun 2015. Saya berjaya keluar dengan PNGK 3.75 dan seterusnya berjaya masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu. 

Hobi saya amat mudah iaitu membaca buku berkaitan dengan sejarah, lebih-lebih lagi ditulis oleh Cik Srikandi. Selain itu, saya juga gemar membaca buku novel Inggeris yang terkenal seperti Harry Potter, Twilight dan The Hunger Games. Buku lain yang saya baca ialah daripada hasil penulisan Hilal Ayraf iaitu Takdir dan buku yang ditulis oleh Dr. Fadh Razy. 

Hobi saya yang lain ialah mencantum teka-teki 3 Dimensi (3D Puzzles). Teki-teki 3 Dimensi merupakan teka-teki yang memerlukan pemain mencantumkan bahan tanpa menggunakan gam dan kadang-kadang boleh juga digunakan supaya tanggam lebih kuat. Antara produk yang saya buat ialah kapal layar, kereta, tram, basikal lama, kereta kebal, kapal terbang, motosikal dan lain-lain. Antara bahan-bahannya ialah menggunakan kayu, metal dan kertas.