Monday 18 April 2016

Menara Condong Teluk Intan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera ~
                                          
Menara Condong ini merupakan salah satu khazanah penting dan saya mahu kongsikan kepada anda serba sedikit perihal tentang Menara Condong. Semoga bermanfaat <3 

sumber : Google


Segala maklumat yang saya dapat adalah hasil daripada sumber rujukan daripada buku Menara Condong Teluk Intan yang ditulis oleh Zabidin Haji Ismail. Buku ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Teluk Intan ialah bandar ketiga terbesar di negeri Perak, Malaysia. Bandar Teluk Intan atau dahulunya dikenali sebagai Telok Mak Intan dan Telok Anson telah melalui zaman cemerlang yang begitu panjang setelah diterokai oleh Mak Intan pada sekitar pertengahan tahun 1870-an.

Teluk Intan memiliki khazanah purba zaman colonial dan tersohor dengan menara Jam Tinggi atau kini lebih dikenali sebagai Menara Condong Teluk Intan. Menara Condong Teluk Intan merupakan kedua di dunia selepas Menara Condong Pisa (Torre Pendente di Pisa) di Italy.

Menara Condong siap dibina pada tahun 1888 dan merupakan sebuah binaan peninggalan British. Menara ini menjulang setinggi 25.5 meter dari paras bumi. Reka bentuk peringatan binaannya agak unik dengan memaparkan keindahan seni pertukangan tradisional Cina. Kontraktor yang membina menara condong ini bernama Leong Choon Cheong dan dibantu oleh seorang jurutera dari Ceylon/Sri Lanka iaitu Sbapathy. Menara ini mempunyai tiga tingkat sahaja walaupun kelihatan seperti mempunyai lapan tingkat.

Bangunan asas diperbuat daripada konkrit batu bata tempatan berukuran 14.3 meter. Setiap tingkat mempunyai empat pintu dan berlantaikan papan dan sebanyak 110 anak tangga diatur melengkung bagi menghubungkan setiap tingkat.

Tingkat teratas merupakan sebuah tangki air yang diperbuat daripada kepingan keluli setinggi 5.3 meter yang berupaya menakung anggaran 19.26 meter padu air. Di sekeliling konkrit batu bata ini dipasang sebanyak 16 batang tiang kayu daripada bahagian lantai tingkat satu hingga perabung.

Menara Condong ini dilengkapi dengan sebuah jam gadang pada bahagian atas sebelah hadapan. Jam ini diimport khas dari Kota London. Jam ini perlu disita setiap hari Rabu dengan menggulung rantai sebesar ibu jari kaki manusia dengan menggunakan engkol. Jam ini berbunyi setiap 15 minit dan dentingannya mampu didengari sejauh lima kilometer jika pada waktu malam hening. Pada awalnya, jam ini digerakkan dengan kuasa air tetapi, apabila proses penyaluran air dari Sungai Perak ke tangki dihentikan. Maka, kudrat manusia digunakan untuk menggerakkan jam ini.

Faktor-faktor menara ini menjadi condong ialah berpunca  daripada struktur tanah dan serangan banjir besar sebanyak dua kali. Selain itu, ada juga berpendapat bahawa pengguguran bom di sekitarnya juga menyumbangkan kepada kecondongan menara tersebut.


No comments:

Post a Comment