Assalamualaikum dan hi,
Lampu jalan TNB sebenarnya boleh dimohon di Kedai Tenaga atau cawanganTNB yang berdekatan. Pergi sahaja ke sana dan beritahu yanganda mahu mohon lampu jalan. Mereka akan memberikan borang.
Sebelum isi borang, saya nak beritahu bahawa terdapat caj-caj yang perlu dibayar iaitu caj pemasangan dan caj bulanan. Sekali pemasangan untuk 1 tiang adalah RM300 dan caj bulanan adalah RM10 sahaja. Seingat saya, dalam 1 borang boleh mohon untuk 2 tiang lampu dibawah bill TNB yang sama.
Isi borang dengan betul, alamat di dalam borang kalau boleh ikut seperti di dalam bill TNB yang kita terima. No. akaun TNB juga isi dengan betul sebab caj bulanan akan terus dimasukkan di dalam bill tersebut. RM300 pula akan dibayar semasa kita beri borang di kaunter.
Selepas siap isi, sediakan pula dokumen sampingan. Apakah dokumen sampingan tersebut?
- Bill TNB yang terbaru (Jika tidak menerima melalui pos anda boleh download melalui apps myTNB
- Salinan kad pengenalan (pemilik bill tnb). Jangan lupa biasakan diri untuk garis dua di atas salinan kad pengenalan kita dan tulislah “UNTUK KEGUNAAN TNB 01/01/2023”.
- Lakaran lokasi tiang.Walaupun sudah ada alamat dan nombor tiang, lakaran ini akan lebih mudah membantu. Tidak perlu terlalu detail atau seperti peta dalam kad kahwin. Cukup lakaran ringkas yang mempunyai nama jalan, tempat check point yang mudah dikenali seperti surau, sekolah dll, dan rujukan simbol. Jangan risau, anda boleh lakar ke kertas A4 yang lain dan tidak semestinya dilakar dalam ruang kotak yang kecil itu.
Selepas pegawai menyemaknya, anda boleh membuat bayaran melalui tunai, kad atau mesin. Jika tidak tahu guna mesin, tanya sahaja pada pegawai. Selesai sahaja, pegawai akan memberikan nama dan nombor telefon orang yang bertanggungjawab untuk memberitahu kelulusan permohonan dan beliaulah yang akan bertanggungjawab dalam pemasangan lampu. Sebelum itu, pegawai tersebut juga akan datang ke lokasi yang dipohon untuk semak kawasan.
Biasanya jika sudah 3 bulan masih senyap, anda boleh hubungi nombor tersebut. Kadang-kadang beliau bertanggungjawab banyak tempat dalam satu-satu masa.
Setakat ini saya pernah buat lebih kurang 3-6 lampu jalanbagi pihak jiran-jiran saya. Anda pun boleh lakukannya. Bincang dan jelaskan dengan rakan kejiranan tentang cara dan caj-cajnya. Jika mereka setuju barulah buat. Pastikan tiang yang dipilih menggunakan bill TNB jiran yang paling dekat. Jangan guna bill jiran Jalan A untuk Jalan B. Bila buat untuk jiran, jangan lupa selesaikan sehingga habis, sehingga dipasang dan bukanlah tergantung. Jika tidak lulus, beritahulah pada jiran tersebut.
Bicara mengenai tidak lulus, anda boleh cuba rujuk kembali kepada pegawai TNB kenapa tidak lulus. Selain itu, ada juga isu yang mungkin timbul seperti TNB tidak pasang, pegawai tidak telefon tentang kelulusan dan tiba-tiba kita kena caj bulanan RM10. Sila cepat-cepat pergi ke kaunter TNB dan menyelesaikannya. Pegawai di sana akan membantu anda. Biasalah, manusia ada silapnya dan biasalah, sistem hanya buatan manusia.
Mudah sahaja kan?! Sambil-sambil tu, mengalir pahala kita bersedekah secara tidak langsung kerana lampu jalan tersebut membantu mereka yang lalu.